9 Amalan Sunat pada Hari Raya Aidil Adha 2015

11 Zulhijjah.
24 September 2015.

Pejam celik pejam celik sudah setahun berlalu meninggalkan kita dari raya aidil adha yang lepas. Begitu cepatnya masa berlalu. Anak juga semakin cepat membesar, kadang kala membuatkan saya rindukan keletah mereka ketika masih kecil.

Apa makna raya aidil adha atau raya haji ini buat pembaca sekalian? Saya paling ingat ketika arwah atuk masih ada, kami lakukan korban di kampung. Inilah pertama kalinya saya menyaksikan sendiri bagaimana korban itu dilaksanakan. Lembu disembelih, ditumbangkan, disiat, dilapah. Sebelum hari kejadian tersebut, pada waktu malam, saya ingat lagi saya dan sepupu menyuluh lampu ke mata lembu tersebut. Ada kelihatan kelopak jernih seakan lembu itu tahu akan nasibnya. Bila diingat kembali hati saya terasa sayu pula. Sepupu saya berkata "aku tak nak makan lembu ni, aku kasihan". Ketika itu saya masih tidak mengerti mengapa. Memang perasaan simpati sudah mula terbit di hati. Katanya lagi, "kalau kita kasihan pada haiwan tu, kita tak boleh makan dia tau".

Ketika itu, usia kami dalam sekolah rendah saya sendiri ingat-ingat lupa berapa usia kami yang sebenarnya. Walaupun kata-kata itu agak berkesan pada hati saya namun apabila diajukan pada mak, seperti biasa mak akan jawab dengan caranya, "Emme, nak makan, makanlah. Takpe boleh makan".

Itulah kali terakhir saya melihat proses penyembelihan berlaku. Raya aidil adha merupakan satu kurniaan daripada Allah mengingatkan kepada kita tentang kisah nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail. Begitu utuhnya cinta Nabi kita kepada Allah dan yakinnya Nabi Ibrahim akan suruhan Allah. Kini, bila kita lihat sekeliling, begitu sedikit hamba Allah yang dapat menahan segala ujian dari Allah. Semakin jauh kita dari zaman Rasulullah, mencintainya dirasakan penuh sukar dan penuh dugaan. Ya Allah, janganlah engkau masukkan kami dalam orang-orang yang lalai lagi alpa. Ar Rahman. Ar Rahman. Ar Rahman.

Semoga hari raya aidil adha pada tahun ini membawa kita lebih dekat kepada Allah. Bukan bersuka ria tetapi amalkan lah sebanyak mana ibadah yang kita mampu lakukan. Dengan ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan salam aidil adha buat semua pembaca, rakan-rakan ABDR, rakan-rakan RCC semoga kita semua memperoleh hidayah dan iktibar supaya dapat dijadikan pedoman dalam menjalani hidup kita sebaiknya.

Saya kongsikan 9 Amalan Sunat yang boleh dilakukan sepanjang hari kita di hari raya aidil adha ini.

Bertakbir
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir.” (at-Tabrani)

Umat Islam digalakkan menyambut hari raya sama ada hari raya Aidil Fitri mahupun Aidil Adha dengan bertakbir beramai-ramai dengan dimulakan di rumah bersama ahli keluarga, kemudian di masjid-masjid atau di surau-surau bagi menandakan kesyukuran kepada Allah SWT setelah berjaya berpuasa selama sebulan.

Takbir bermula sejurus sahaja terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan, selepas berbuka dan menunaikan solat maghrib maka digalakkan bertakbir dengan takbir raya yang biasa kita ucapkan apabila tiba hari raya.

Mandi, Memakai Wangian, Memakai Pakaian yang Baik
Perkara ini dilakukan adalah untuk menzahirkan nikmat Allah dan bersyukur di atas nikmat tersebut. Ini kerana Rasulullah SAW mandi pada hari raya Fitrah, hari raya Korban, baginda memakai wangian pada hari raya, walau pun dari wangian isterinya. (Riwayat Baihaki dari Ibn Abbas.)

Waktu mandi, pada pandangan Hanafiah dan Hanabilah, ialah selepas subuh sebelum pergi ke masjid. Di antara dalil, sunatnya perkara tersebut ialah:
Maksudnya: Hasan berkata: “Rasulullah SAW menyuruh kami pada dua hari raya, supaya kami memakai sebaik-baik pakaian yang kami ada, kami memakai wangian yang terbaik yang kami ada, dan kami korbankan benda yang paling berharga yang kami ada…” Riwayat al-Bukhari.

Makan Sebelum Keluar Menunaikan solat Pada Hari Raya Fitrah

Walaubagaimanapun tidak sunat makan sebelum keluar menunaikan solat hari raya pada hari Raya Korban. Pada hari raya korban sunat dilewatkan makan sehingga balik dari menunaikan solat supaya dapat makan masakan dari hasil korbannya, atau hasil korban orang lain, jika ia tidak berkorban. Disunatkan makan dahulu beberapa biji tamar (bilangan ganjil) pada hari raya Fitrah,  Ini berdasarkan hadis Anas:

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari raya Fitrah sehingga baginda makan beberapa tamar”.

Maksudnya: Hadis Buraidah “Bahawa Rasulullah SAW tidak keluar pada hari Raya Fitrah sehingga baginda makan, dan baginda tidak makan pada hari Raya Korban sehingga baginda solat.”

Adab Keluar Rumah Pada Hari Raya
selepas solat subuh, dengan tenang, bersopan dan dalam keadaan berjalan kaki, dengan keinginan untuk menambahkan pahala. Ini berdasarkan kata-kata Ali r.a. :
Maksudnya: “Antara sunnah Rasulullah ialah keluar untuk solat hari raya dalam keadaan berjalan kaki.”

Manakala Imam solat, sunat baginya lewat datang ke masjid sehingga dekat waktu untuk mendirikan solat tersebut. Ini berdasarkan hadis Abi Said al-Khudri r.a.:
Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Raya Fitrah dan raya korban ke musalla, maka perkara pertama yang baginda mulakan ialah solat sunat hari raya.”

Walau bagaimanapun tidaklah menjadi suatu larangan untuk menaiki kenderaan ketika berjalan pulang.

Antara sunnah Rasulullah SAW juga ialah pulang dari masjid mengikut jalan yang berbeza supaya langkahnya disaksikan oleh dua batang jalan, ketika pergi dan ketika pulang. Walau pun begitu, tiada halangan untuk pulang mengikut jalan yang sama.

Sunat Ucapkan Tahniah.
Terdapat satu riwayat hadis, maksudnya:
“Para sahabat Rasulullah SAW, apabila mereka berjumpa pada hari raya, mereka ucapkan sesama mereka “Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.”

Berseronok Pada Hari Raya
Berseronok pada perkara yang dibenarkan, seperti dengan nyanyian yang dibolehkan termasuk nasyid, dan qasidah untuk merehatkan jiwa. Ini berdasarkan kata Anas,

maksudnya:
“Ketika Rasulullah datang ke Madinah, dan bagi penduduk Madinah terdapat dua hari yang mereka berseronok padanya, maka Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kebaikan bagi kamu dengan dua hari tersebut, iaitu hari raya fitrah dan hari raya korban.”

Dari Aisyah r.a katanya:”Ketika hari raya, orang-orang Habsyi datang ke masjid mempertunjukkan permainan pencak silat. Lalu Rasulullah s.a.w memanggilku dan kuletakkan kepalaku di bahunya. Aku ikut menonton pertunjukkan itu hingga aku puas melihatnya.” (Muslim)

Menghidupkan Malam Hari Raya
Menghidupkan malam hari raya adalah dengan berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, bertakbir, bertasbih, dan beristighfar pada sepertiga akhir dari malam itu, dan yang terbaik ialah menghidupkan seluruh malam itu dengan amalan tersebut. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam Hari Raya Fitrah dan malam Hari Raya Korban, maka hatinya tidak mati pada suatu hari yang mana hati-hati orang lain mati.”

Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: “ Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.” (Ibnu Majah)

Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan Takbir dan Tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang-orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah S.W.T.

Sebaliknya orang-orang yang kufur engkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa dengan sebuiruk-buruk balasan.

Di haramkan Berpuasa Di Hari Raya.
Ini berdasarkan hadis Nabi saw dari Abu Hurairah r.a:
Maksudnya, ”Rasulullah s.a.w melarang puasa pada dua jenis hari. Iaitu pada hari raya Idul Adha (10 Zulhijjah) dan hari raya Idul Fitri (1 Syawal).” (Muslim)

Dari Umar bin Khathab ra., ia berkata bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah saw. untuk berpuasa, iaitu hari raya Idul Fitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji “ (Muslim)

Sembahyang Hari Raya
Daripada Abi Said al-Khudri, r.a. katanya: “Biasanya Nabi Muhammad SAW keluar ke tanah lapang pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, maka perkara yang mula-mula dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan sembahyang (sembahyang hari raya) kemudian (setelah selesai sembahyang), Baginda bangun mengadap orang ramai (untuk berkhutbah) sedang mereka (jamaah) tetap duduk dalam saf masing-masing, lalu Baginda menasihati mereka dan berwasiat (supaya mereka sentiasa bertaqwa) serta menyuruh mereka (tetap taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya).” (al-Bukhari)

Sembahyang hari raya Aidil Fitri (dan juga Aidil Adha) sunat dilakukan secara berjamaah sama ada di tanah lapang, di dalam masjid dan sebagainya. Khutbah hari raya Aidil Fitri hendaklah dilakukan sesudah mengerjakan sembahyang, di mana para jamaah hendaklah tetap duduk dalam saf masing-masing dan mendengar pengajaran khutbah yang disampaikan oleh khatib.

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan