Ulasan Kelas Akaun - Nurhidayah Bahari

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah S.W.T.. Atas izin dan kasih sayang-Nya saya berpeluang menimba ilmu di Kelas Asas Akaun Online sesi 17 Mac 2014.

Saya kecilkan skop pengurusan akaun ini kepada akaun para WAHM (Work At Home Mom), pemilik SOHO (Small Office Home Office) atau lebih mudah, akaun surirumah yang bekerja dari rumah.

Saya ingin sekali berkongsi tentang beberapa pesanan dan nasihat yang diberikan oleh Tenaga Pengajar Bertauliah iaitu Puan Khadijah Abdullah tentang asas pengurusan akaun perniagaan yang sebenar.

Dan saya ingin sekali mengajak para WAHM @ pemilik SOHO merenung sedikit ilmu yang dikongsikan disini dari kelas ini dan mengaitkannya dengan realiti sebenar cara kita menguruskan akaun perniagaan kita.

Kelas ini sangat memberikan kejutan!

Puan guru berpesan, apabila kita telah membuat keputusan untuk berniaga adalah lebih baik kita menetapkan satu akaun bank khas untuk perniagaan kita. Walaupun perniagaan kita itu kecil-kecilan sahaja, menyediakan satu akaun bank khas menunjukkan kita serius didalam perniagaan dan ingin pergi lebih jauh lagi. Wang perniagaan dengan wang peribadi wajib diasingkan.

Namun realitinya apa yang kita buat? Wang perniagaan dan wang peribadi bercampur aduk. Kadangkala perniagaan terpinjam wang peribadi. Kadangkala kita terguna wang perniagaan. Bukan kadang-kadang. Tapi kebiasaannya. Kan?

Selain itu setiap transaksi wang perniagaan kita mestilah direkodkan waima RM0.01 pun. Tiada sen pun yang terkecuali.

Namun realitinya? Jangan kata 1 sen. Transaksi RM100.00 atau RM1000.00 pun tidak pernah kita rekodkan. Kenapa ya? Kita lupa dan kadangkala kita buat-buat lupa. Kan?

Buku catatan kecil untuk merekodkan transaksi perlu sentiasa dibawa ke mana sahaja kita pergi. Bagi surirumah, simpan buku catatan itu didalam beg tangan. Didik diri kita untuk merekod setiap transaksi. Catatan ini adalah supaya kita tidak terlupa apa jua transaksi yang telah dilakukan serta bagi memudahkan pengiraan untung rugi perniagaan setiap bulan.

Antara lain yang sangat menyentap kesedaran saya adalah pengiraan untung bersih dari perniagaan kita.

Saya ringkaskannya begini.

Situasi :
---------
Siti Nurhaliza menjalankan perniagaan produk Jamu Kak Dara.

Harga jualan sebotol Jamu Kak Dara : RM100.00

Harga kos sebotol Jamu Kak Dara : RM 70.00

Untung kasar sebotol Jamu Kak Dara : RM30.00

---------

Kesilapan yang Siti Nurhaliza lakukan adalah dia menganggap RM30.00 itu adalah Untung Bersih lalu mengeluarkannya dari wang perniagaan dan menggunakan wang itu untuk keperluan peribadi.(Seperti yang biasa kita lakukan. Kan?)

Dia terlupa untuk mengambil kira kos tol/petrol menguruskan stok Jamu Kak Dara. Dia terlupa mengira kos pemasaran yang telah buat untuk memasarkan produknya. Dia lupa kos bil eletrik penggunaan laptop dan juga bil internet. Dia sangkakan dia untung, hakikatnya dia hanya kerugian masa dan tenaga. Wang apatah lagi. Rugi. Negatif.

Inilah yang paling menyentap perasaan saya.

Termenung sekejap saya memikirkannya.

Insaf.

Lalu saya berazam memperbaiki kesilapan ini.

Anda bagaimana? Jika pengurusan akaun perniagaan anda sudah tepat dan teratur itu bagus untuk anda.

Jika tidak, segeralah menuntut ilmu asas pengurusan akaun ini. Supaya kesilapan tidak berlaku lagi. Supaya tidak menyangka diri untung hakikatnya rugi.

Betulkan yang biasa. Biasakan yang betul.
Sumber: http://nurhidayahbintibahari.blogspot.com/2014/03/ulasan-kelas-asas-akaun-online.html
Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan