Teks Pilihan : Rohani Sarmani
Nama saya Rohani bt Sarmani, anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik. Dilahirkan dalam keluarga yang sederhana tetapi amat menitik beratkan hal-hal keagamaan. Saya telah berkahwin dan memiliki sepasang cahaya mata yang menjadi 'penyejuk mata' (qurratul ain) ibu ayah. Syukur ke hadrat Allah kerana saya diizinkan menjadi seorang isteri dan ibu. Betapa besarnya nikmat dan pesonanya menjawat jawatan tersebut, yang diwarnai pelbagai warna kehidupan.
Pendidikan awal saya bermula di Kuala Lumpur dari darjah satu hingga tiga. Ketika itu abah saya bekerja di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur. Saya seterusnya melanjutkan pelajaran di Ipoh hingga tingkatan lima. Saya bukanlah tergolong dalam kalangan murid yang cemerlang. Mungkin ketika itu saya tidak menggunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh. Zaman persekolahan menengah banyak saya isi dengan aktiviti bersukan. Saya amat meminati permainan hoki. Saya mula berjinak-jinak dengan permainan hoki ketika dalam tingkatan dua. Setiap petang, saya berlatih bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu. Akhirnya, ketika berada dalam tingkatan empat saya berjaya terpilih mewakili sekolah. Saya mewakili sekolah dalam pertandingan sukan daerah dan negeri Perak selama dua tahun iaitu ketika dalam tingkatan empat dan lima. Semasa berada dalam tingkatan lima, saya telah diamanahkan menjadi ketua pasukan hoki sekolah. Saya bermain pada posisi sayap kanan. Pada tahun tersebut, pasukan sekolah di bawah pimpinan saya dan bimbingan jurulatih telah berjaya menjadi johan hoki daerah dan negeri. Kemudian, saya telah terpilih mengikuti Kem Bakat peringkat negeri sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia Bawah 18 tahun. Berkat kesungguhan saya menjalani latihan, telah memikat hati jurulatih dan seterusnya saya terpilih dalam kesebelasan pemain utama untuk mewakili negeri Perak. Saya berjaya mewakili pasukan negeri Perak selama dua tahun berturut-turut. Inilah kemuncak kejayaan dan kepuasan dalam bidang sukan yang saya kecapi ketika itu.
Namun, walaupun saya sibuk bersukan, saya tidak mengabaikan pelajaran. Saya tetap berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia walaupun sekadar pangkat 3. Saya menyambung pelajaran hingga ke tingkatan enam dan meneruskan minat dalam sukan hoki. Malah, saya menyimpan impian untuk mewakili pasukan hoki wanita kebangsaan pada suatu hari nanti. Alhamdulillah, hasrat saya itu tidak dimakbulkan Allah. Pasti ada hikmah terindah di sebaliknya. Selepas keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia saya peroleh dengan 3 Prinsipal, saya cuba memohon untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Tetapi, tidak berjaya. Sayamengambil keputusan untuk bekerja dan mencari peluang belajar sambil bekerja. Kerjaya sebagai guru bermula selepas saya tidak berjaya dalam permohonan ke IPTA. Saya memulakan kerjaya sebagai guru sementara di sekolah kerajaan. Kerjaya guru sebenarnya bukan cita-cita saya malah tidak pernah terlintas dalam kamus kehidupan saya. Semasa menjadi guru sementara, saya ditawarkan bekerja di sebuah sekolah rendahIslam swasta di bandar Seremban. Saya menerima tawaran tersebut kerana saya berpeluang mendidik anak-anak seagama dan sebangsa dengan saya. Saya menerima ketentuan Allah kerana sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala yang terbaik buat diri ini. Saya mula belajar mencintai kerjaya sebagai seorang guru. Atas rasa kekurangan ilmu dan pengalaman sebagai guru, saya menghadiri kursus-kursus yang dijalankan oleh pihak sekolah. Selain itu, saya berusaha menambah ilmu pendidikan dengan cara belajar sambil bekerja. Saya mengambil Sijil Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia selama dua tahun dari tahun 1986 hingga 1988. Kursus ini dijalankan secara separuh masa iaitu pada setiap hari Sabtu.
Pada November 1989, saya melangsungkan perkahwinan atas pilihan keluarga. Saya masih meneruskan pengajian saya dalam bidang pendidikan dengan mengambil kursus Diploma Pendidikan Islam, IPI selama setahun (1990-1991). Saya belajar secara separuh masa pada setiap hari Sabtu. Pada ketika itu, saya mengandungkan anak sulung. Suami yang menjadi peneman sepanjang saya belajar di mana suami akan menghantar saya ke kampus pengajian di Kajang, menemani saya hingga ke bilik darjah dan seterusnya menunggu hingga saya selesai belajar. Inilah rutin saya dan suami setiap hari Sabtu selama setahun pengajian saya. Saya menduduki peperiksaan akhir tahun setelah saya selesai pantang melahirkan anak sulung saya. Seterusnya, pada tahun 1994 - 1995, saya menyambung kembali pengajian saya dalam bidang Diploma Kaunseling Islam, IPI selama setahun. Ketika itu juga, saya sedang mengandungkan anak kedua. Saya suka belajar ketika mengandung walaupun mengalami cabaran dan kesukaran kerana sekurang-kurangnya anak dalam kandungan saya juga sama-sama belajar dengan ibu mereka. Kali ini saya menduduki peperiksaan akhir ketika dalam berpantang. Kedua-dua anak saya lahir melalui kaedah pembedahan caesarian kerana saya tidak boleh melahirkan anak secara fitrah. Dengan perut yang masih sakit kesan pembedahan dan berbengkung rapi, saya mengatur langkah berhati-hati menuju dewan peperiksaan. Alhamdulillah, saya berjaya dalam peperiksaan dan dianugerahkan diploma. Saya sempat bekerja di sekolah rendah Islam swasta selama 8 tahun. Kemudian, saya ditawarkan bekerja di sebuah lagi sekolah rendah Islam swasta juga di bandar Seremban.
http://rohanisarmani.blogspot.my/2016/03/tajuk-pengenalan-teks-rohani-nama-saya.html
Nota : Alhamdulillah antara contoh pengenalan yang baik, yang lengkap mengikut soalan analisa yang diberikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan