Kebelakangan ini terasa agak sakit di jari kerana terlalu banyak menaip agaknya. Mulalah terasa sukar untuk menaip entri di blog (alasan). Hehe. Almaklumlah saya seorang ibu yang suka membebel, maka setiap kali menulis di ruang blog ini pasti akan panjang berjela kan? Tahniah dan terima kasih pada kalian yang sudi membacanya dengan tekun.
Hari ini 19 April 2017, terlalu pantas masa berlalu dan terlalu banyak urusan ingin dilaksanakan. Baik buat untuk diri sendiri, keluarga mahupun insan lain, ianya seolah-olah masa itu terlalu mencemburui urusan seharian saya. Ada masanya saya terasa ingin rehat serehat-rehatnya, lelapkan mata sebaik sahaja suami kepergian ke tempat kerja. Rehat daripada menyiram pokok bunga, mengemas mainan anak-anak, atau apa sahaja tugasan pada waktu pagi dan bangun pada tengah hari dan makan sahaja. Malangnya ia adalah perkara yang tidak dapat saya lakukan. Setiap masa itu emas, malah amat berharga daripada nilai segram emas.
Minggu ini saya dan team Sedekah Jumaat Amal till Jannah akan mulakan projek pertama kami menyantuni dan meraikan anak-anak yatim pada setiap hari jumaat. Semalam sudah pun selesai membeli-belah keperluan rumah jagaan anak yatim dan anak-anak yatim itu sendiri. Sedikit bekalan makanan kering dan barangan persekolahan mereka. Menu minggu pertama ini Nasi Ayam Istimewa insha Allah. Ada juga rakan team akan bekalkan kami kuih-muih bagi anak-anak yatim. Alhamdulillah. Tidak sabar juga rasanya ni nak bertemu dengan mereka semua.
Sebagai peniaga online sepenuh masa, saya mula memikirkan apa lagi medium yang boleh saya masuki untuk menambah lagi pendapatan bulanan saya. Pendapatan inilah banyak membantu kami sekeluarga, beri pada mak dan abah setiap bulan, saving buat diri sendiri dan anak-anak. Alhamdulillah. Paling saya rasa bertuah apabila dengan pendapatan ini dapat menunaikan zakat dan bersedekah pada insan memerlukan. Betapa besarnya makna memberi itu, dan besar lagilah apa yang Allah berikan pada kami.
Dengan bersedekah, ia mengajar supaya kita tidak cintakan harta benda. Rezeki ini milik Allah, ianya pinjaman untuk kita. Sebagaimana kita bijak berbelanja sebegitulah Allah menilai kita. Adakah kita hamba- Nya yang bersyukur? Atau adakah kita hamba -Nya yang apabila mula berduit mula lupa akan nikmat dan kebesaran Allah? Allahu rabbi. Mohon dijauhkan.
Insha Allah sedang usahakan untuk memasuki Lazada dengan produk-produk jualan yang saya sedang uruskan sekarang. Doakan ya?
Semoga Allah merahmati dan merestui setiap usaha dan pekerjaan kita semua. Tidak kira apa jawatan anda, apa kerja anda asalkan anda ikut apa Allah suka dan jaga apa yang DIBENCI. Insha Allah kejayaan itu milik kalian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan