Assalamualaikum, alhamdulillah akhirnya siap juga printable poster amalan surah-surah pilihan sebagai rujukan untuk dibaca oleh seisi keluarga pada setiap hari. Saya sangat suka membuat poster atau melekatkan poster di dinding sebagai rujukan sendiri dan bila dah berkeluarga ni dengan anak yang ramai. Bayangkan sekali bercakap je tidak mencukupi. Setiap hari saya perlu ulang peringatan apa surah untuk hari ini, malam ini, sehingga saya sendiri kadang lupa apa perlu dibaca.
Sabda baginda SAW bermaksud: "Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Pada suatu hari, saya mencari hadiah untuk diberikan kepada customer dan saya sangat suka menghadiahkan buku mini surah seperti surah Yasin, 3 surah dan seangkatan dengannya. Saya terjumpa dengan buku Amalan Surah-Surah Pilihan Fadhilat & Khasiatnya dari Tuan Haji Johari Haji Alias. Di dalamnya terkandung 10 surah yang dipilih beserta keterangan dengan hadis dan dalil.
Saya suka dengan cara beliau menulis dan sampaikan melalui buku tersebut. Oleh itu saya juga rasa bahawa kebaikan dan manfaat yang beliau buat diamalkan oleh seisi keluarga. Maka, poster ini bukan sekadar mengingatkan apakah amalan surah yang kita boleh amalkan setiap hari tetapi juga sebab yang mengharuskan diri kita membacanya jika kita inginkan ganjaran tersebut.
Aisyah menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang membaca al-Quran dan menjaganya (membacanya dengan betul dan mengamalkannya) akan bersama para malaikat yang mulia. Adapun orang yang membaca al-Quran dengan sungguh-sungguh dan mengalami kesulitan, dia akan mendapat dua pahala.” (Sahih Bukhari dan Muslim)
Sebagai contoh; ganjaran surah Al-Mulk di baca setiap malam kerana janji Allah yang dinyatakan pembacanya akan dilindungi dari azab api neraka. Nah! siapa yang tidak mahu pegang pada janji Allah? Bila kita nakkan sesuatu dari Allah maka Al Quran lah antara salah satu sumber untuk kita dekat dan bercakap dengan Allah. Janji Allah itu benar dan sebagai hambaNya wajib kita mempercayai dan mentaati.
Sekadar menulis apakah amalan surah-surah harian tanpa dalil yang kukuh agak sukar bagi saya. Mungkin kerana saya jenis yang perlukan trust dan dalam Islam, kita tak boleh semberono sahaja bercakap surah ini boleh jadi ini, surah itu jadi itu tanpa ada hadis yang menyokongnya. Perlu untuk kita sampaikan kepada orang ramai dengan betul agar tiada kesalahan dan kesilapan di situ asbab diri kita. Oleh sebab itu, poster ini saya minta maaf ya, sedikit kecil tulisannya pada fadhilat kerana nak muatkan semua surah dan ayat-ayat surah dalam satu poster.
Ada 10 Surah Pilihan Yang Telah Saya Senaraikan:-
1. Surah Yassin dan Fadhilatnya:
Dari Anas R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang membaca surah Yasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai 10 kali membaca seluruh al-Quran.” (HR At-Tirmizi)
“Sesiapa yang membaca Surah Yassin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu akan dipenuhi“. (HR Ad-Darimi)
Waktu Saranan Di Baca
Setiap pagi Subuh. Dibaca sebagai pemula hari memohon kepada Allah swt agar dilancarkan urusan kita semua setiap hari.
2. Surah Al-Mulk dan Fadhilatnya:
Drpd Jabir R.A, sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur hingga baginda membaca Alif Laam Mim, Al-Sajadah dan Al-Mulk (HR At-Tirmizi)
Daripada Anas Ibnu Malik, Rasulullah SAW bersabda: Satu surah di dalam Al-Quran menghujahkan kepada pembacanya hingga memasukkannya ke dalam Syurga iaitu surah Al-Mulk (HR At-Tabarani)
Waktu Saranan Di Baca:
Setiap malam sebelum tidur.
3. Surah Al-Waqiah dan Fadhilatnya:
Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Waqi’ah setiap malam, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.” (HR: Al- Baihaqi)
Waktu Saranan Di Baca:
Setiap malam sebelum tidur.
4. Surah AS-Sajdah dan Fadhilatnya:
Jabir R.A. mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : “Nabi Muhammad S.A.W. tidak akan tidur sehingga dia membaca surah As-Sajdah dan surah al-Mulk.” (Dipetik dari HR at-Tirmizi)
Kata Ibn Taimiyyah yang bermaksud: “Kedua surah ini mengandungi (dan mengingatkan kita) tentang apa yang telah dan akan berlaku pada hari Jumaat iaitu, pada hari Jumaat Adam dijadikan, hari ini juga akan berlakunya hari kiamat, manusia akan dihimpunkan juga pada hari Jumaat. Maka bacaan surah ini pada hari Jumaat adalah peringatan buat umat ini tentang apa yang telah dan akan berlaku.” (Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah)
Waktu Saranan Di Baca:
Setiap malam sebelum tidur dan setiap hari jumaat pada waktu Subuh.
5. Surah Dukhan dan Fadhilatnya:
Dari Umamah pula menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Ad Dukhan pada malam atau hari Jumaat maka Allah akan membinakan sebuah rumah dalam syurga.” (HR: At Tabrani).
Disebutkan dalam tafsir al-Burhan, dari Nabi SAW bersabda; “Orang yang membacanya (surah ad-Dukhan) pada malam Jumaat, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” Baginda SAW juga bersabda, “Orang yang membaca surah ad-Dukhan pada malam Jumaat akan dimintakan ampun (atas dosa-dosanya) menjelang paginya oleh tujuh puluh ribu Malaikat.”
Waktu Saranan Di Baca:
Dibaca setiap malam atau pada malam Jumaat.
6. Surah Al-Kahfi dan Fadhilatnya:
dari Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.
(Sunan Ad-Darimi: 3273)
Sabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, maka sesungguhnya ia akan dilindungi dari fitnah Dajjal.”
(Hadith Riwayat Nasaie)
Waktu Saranan Di Baca:
Setiap hari Jumaat.
7. Surah Ar-Rahman dan Fadhilatnya:
Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang membaca surat Ar-Rahman, Allah akan menyayangi kelemahannya dan meridhai nikmat yang dikurniakan padanya.” (Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn 5/187).
Waktu Saranan Di Baca:
Setiap hari pada waktu Dhuha, Asar atau pada waktu malam.
8. Surah Al-Hasyr (Ayat 22,23 dan 24) dan Fadhilatnya:
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca ayat akhir surah al-Hasyr, baik malam mahupun siang, lalu dia meninggal dunia pada hari itu, maka ia berhak masuk syurga.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
Waktu Saranan Di Baca:
Pada setiap pagi Subuh dan selepas Asar. Dibaca 2 kali sehari bermula dengan bacaan seperti dibawah
9. Surah Al-Baqarah (Ayat 1-5, 255, 256-257 dan 284-286) dan Fadhilatnya:
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata:
مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ، لَمْ يَدْخُلْ ذَلِكَ الْبَيْتَ شَيْطَانٌ تِلْكَ اللَّيْلَةَ حَتَّى يُصْبِحَ: أَرْبَعًا مِنْ أَوَّلِهَا، وَآيَةُ الْكُرْسِيِّ، وَآيَتَينِ بَعْدَهَا، وَثَلَاثٌ خَوَاتِيمُهَا
Maksudnya: “Barangsiapa membaca sepuluh ayat daripada surah al-Baqarah pada satu malam maka rumah tersebut tidak akan dimasuki syaitan pada malam tersebut sehingga pagi iaitu empat ayat awal surah al-Baqarah, ayat al-Kursi, dua ayat selepasnya dan tiga ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah”.
[Riwayat Imam al-Darimi (3425)]
“Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir di dalam surah al-Baqarah pada malam hari, maka itu akan mencukupinya.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : “Seseorang yang membaca surah al-Ikhlas sepuluh kali, maka Allah akan mendirikan rumah di syurga baginya.“
Saya telah buatkan 3 version untuk anda pilih. Percuma sahaja. Insya Allah cantik ditampal buat rujukan diri sendiri dan keluarga. Nak lagi cantik, saya suka laminate poster dan barulah tampal di dinding. Saya tampal guna tack it tape sahaja.
Berminat untuk dapatkan poster Amalan Surah-Surah Harian?
Usah bimbang, saya sudah setkan dalam bentuk PDF Print, jadi kualitinya bagus apabila sahabat print sendiri di rumah insya Allah
Klik sini untuk download ya -->> Printable Poster Amalan Surah-surah Harian
Saya mohon kepada pembaca semua, jika poster ini bermanfaat kepada kalian. Boleh dikongsikan buat rakan-rakan lain. Sama ada mendownload poster ini untuk tujuan print dan tampal, atau dijadikan rujukan pada handphone anda. Terpulanglah. Namun tujuan kita semua itu sama, menyampaikan perkara kebaikkan dan mudah-mudahan yang baik itu sampai kepada kita dan dapat diamalkan. Insya Allah
Firman-Nya dalam surah Hud, ayat 115 bermaksud: “Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu dalam mengerjakan suruhan Allah) kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.”Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya diantara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan. sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang disedekahkannya “(Hadis Riwaya Ibnu Majah).
Alhamdulillah. Terbaik
BalasPadam