[Pengalaman] Demam Virus atau Fever Viruses

 Bismillah. Assalamualaikum semua. Semoga anda semua sihat sejahtera hendaknya, diberikan nikmat sihat, akal, dan hati yang baik-baik belaka. Alhamdulillah, diri ni semakin sembuh dari demam virus yang agak lama, sekeluarga diserang demam yang sama. 


Demam virus? Saya juga tidak pasti kerana kali ini darah tidak diambil, dan tak mampu pun untuk kami ke klinik semasa sakit. Dijadikan kisah, suami saya sibuk menanda kertas selepas pulih dari demam, kemudian diikuti saya dan anak-anak. Ha, dari suamilah kami berjangkit. Memang semasa suami saya demam tempoh hari, badan dia panas selama 4-5 hari, panas dan sejuk menggigil, batuk dan selesema. 


Simptom Demam Panas Berpanjangan Yang Kami Alami Adalah Seperti Berikut:-

- Badan panas lebih dari 3 hari (saya tak catit suhunya tetapi cukup untuk kata demam panas atas 37.5 kerana sentuh sahaja terasa panas yang kurang selesa bagi diri kita yang sihat normal)

- Sejuk menggigil (walau kita demam, dalaman sejuk hingga kebas jari - saya alami sendiri bila kesepuluh jari saya tiba-tiba sejuk beku dan kebas-kebas)

- Loya dan muntah (** macam alahan mengandung)

- Tidak boleh bau masakan/tumis (** macam alahan mengandung)

- Hilang selera makan

- Air liur payau/pahit hingga tidak selesa nak jamah makanan

- Batuk yang agak kuat

- Selesema

- Badan lesu dan penat

- Cirit-birit 


Pertama kali saya demam dengan simptom tersebut dan simptom ini dialami sama oleh seluruh isi keluarga. Orang pertama yang kena ialah suami saya, saya, anak pertama dan akhirnya semua anak saya. 7 orang ahli keluarga. 


Saya alami kesan yang agak teruk berbanding semua yang kerana saya baru sahaja kena covid-19 pada 22 November 2022. Itupun mengambil masa seminggu lebih untuk pulih dan batuk selesema masih belum pulih. Syukur alhamdulillah, tiada jangkitan pada paru-paru walaupun dada sakit. Jadi bila saya sambung berjangkit demam dari suami, sukar juga kerana badan belum pulih sepenuhnya. Bila tidur jadi sukar kerana dada sakit, dan selesema yang agak teruk sampai tidak boleh bernafas. Panik juga saya dibuatnya hingga mula terasa akan terkena serangan panik. Mujurlah berjaya tenangkan diri. 


Saya kehilangan berat badan sebanyak 3 kilo dalam masa seminggu sahaja. Wah, macam seronok kan? Tetapi cukuplah saya taknak kena lagi, betapa teruknya alahan demam tu hingga tiada air pun yang terasa sedap untuk diminum. Tak pasti apa rasa yang lidah ni rasa. 


Disebabkan hilang selera makan, perut sakit bila gastrik menyerang kemudian mula muntah kerana perut kosong dan tak selesa dengan makanan yang masuk ke dalam perut. Ada 2 hari yang saya langsung tak jamah makanan dan cuma minum air panas sahaja. Air panas ajelah yang selera, itupun sebab nak legakan tekak sekali. Bibir dan kulit wajah jadi sangat kering dan menggelupas khususnya di area hidung dan pipi. 


Demam berjangkit yang agak laju sehingga tiada seorangpun terlepas dari sakit. At least covid-19 sudah dua kali saya kena, virusnya tidak menyerang ahli keluarga yang lain. Pertama kali saya diserang covid-19, 3 orang dijangkiti dan tiada pengasingan 100% kerana saya penghubung dan menjaga yang sakit. Anak-anak tetap bersama saya, dan saya juga jaga suami semasa dia terkena covid. Kemudian kali kedua, saya seorang sahaja terkena covid-19. 


Pertama kali terkena covid-19 saya penghujungnya setelah semua sakit, walaupun negatif tetapi ada ahli keluarga yang demam dan batuk (bergejala dan negatif) sedangkan saya hanya sakit tekak. Kali kedua, saya demam sekejap, sakit kepala yang berpanjangan, lesu, batuk, bisa-bisa badan dan selesema hingga sakit dada. Kali kedua terkena covid-19 adalah lebih teruk daripada pertama kali saya dijangkiti. 3 hari saya tidak mampu bangun dari katil dan hanya berbaring. Hari keempat saya mula bertenaga dan mula memasak. Sukar juga nak rehat lama-lama, beberapa kali rasa berpusing nak pitam tetapi kuatkan juga semangat untuk keluarga. Begitulah kan ibu. Kena cepat sihat daripada sakit demi keluarga tercinta.


Namun demam virus ini adalah lagi teruk daripada gejala covid. Mungkin covid lebih ditakuti kerana kesannya pada paru-paru kan? Syukurlah selepas pemeriksaan, paru-paru okay. Mungkin juga asbab sudah vaksin? Wallahu alam. Kedua-dua kali dijangkiti covid-19 ni, adalah selepas divaksin. Tiada masalah kesihatan yang kronik juga mungkinlah antara sebab badan ini mampu untuk menahan jangkitan kuman dari covid-19.


Apa nak buat jika dijangkiti demam seperti saya?


Nasihat saya, makan ubat untuk elak keadaan jadi lebih teruk. Banyakkan minum air masak, dan jika boleh asingkan diri daripada ahli keluarga yang lain. Bukan apa, bila anak-anak kecil sakit, susah dibuatnya tahu. Saya sedih bila anak-anak yang kecil demam, batuk ni. Tak berhenti-henti batuknya, muntah lebih banyak dari dewasa kerana mereka tidak pandai nak keluarkan kahak. Bila baby demam, faham-faham ajelah mereka akan alami kesukaran untuk tidur dan menyebabkan kita juga tak dapat berehat pada waktu malam. Nak bagi makan ubat pula Masya Allah, bukan main payah. Jadi bagi baby ni, selagi masih kecil, bila makan ubat je muntah.. Akhirnya memang saya tak beri mereka sebarang ubat melainkan sudah besar, dan boleh dengar arahan. Jika anda ada anak kecil bawah 4 tahun yang mudah makan ubat, alhamdulillah.

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan