Apa Itu Anxiety - Panic Disorder?




Menurut Dewan Bahasa dan hasil rujukan ilmiah, saya ringkaskan maksud anxiety, panik, serangan panik (panic attack) dan panic disorder. 

anxiety : uneasiness, kebimbangan, kerisauan, kecemasan, kekhuatiran. 
anxiety disorder : rasa gelisah, takut dan terlalu banyak berfikir tanpa henti
panic : cemas (takut, bimbang, gelisah dsb) yg datang dgn tiba-tiba
panic attack : serangan kecemasan (panic) 
panic disorder : serangan panik yang berlaku secara berulang kali

Setiap manusia pasti akan pernah merasa panik (cemas), sama ada perkara baru, terkejut, atau mengalami situasi yang mendebarkan dan menakutkan. Namun, bagi orang normal ia mungkin sekali atau beberapa kali dalam seumur hidup. Manakala mereka yang mengalami masalah panic disorder ini, mendapat serangan panik kerap kali sehingga menyebabkan kemurungan, kerisauan berlebihan dan lebih teruk lagi mengganggu kehidupan seharian mereka. 


Adakah anda salah seorang dari mereka? Malangnya, saya merupakan salah seorang pesakit anxiety dengan panic disorder. Mari kita kaji bagaimana ia boleh berlaku. Kenapa dan bagaimana? Adakah ia dapat dirawat atau tidak? Sama-sama kita belajar topik ini hari ini.


Siapa Boleh Terkena Panik Disorder?


Panic attack boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, lelaki atau wanita. Muda atau tua. Ianya terjadi akibat diri kita yang secara tiba-tiba merasa amat takut dan resah akan sesuatu situasi, adakalanya tanpa sebab. Tidak kiralah sama ada kita berdepan dengan masalah yang amat tertekan, bahaya atau menakutkan. 

Serangan panik adalah seperti:-
  • Degup jantung kencang
  • Sakit dada
  • Sesak nafas
  • Rasa tercekik
  • Rasa terpisah dari reality
  • Menggeletar
  • Berpeluh
  • Kebas kaki/tangan
  • Rasa loya
  • Perasaan takut mati
  • Perasaan takut hilang kawal
  • Pening/hampir pengsan
  • Panas/sejuk tanpa sebab

Bagi saya sendiri, saya paling kerap terkena serangan degupan jantung laju, sakit dada, pening, menggigil, loya dan gementar. Saya tidak perasan berpeluh, apakah peluh panas atau dingin? Saya pernah sehingga terkena serangan hyperventilation akibat terlalu risau dan migrain sehingga akhirnya mendapat serangan sesak nafas. Dikejarkan ke kecemasan, diperiksa setiap kemungkinan dan akhirnya doktor diagnosiskan saya sebagai terkena serangan panik (hyperventilation). 


Situasi saya pada ketika itu, sukar untuk saya gambarkan malah saya tidak mahu dan mengelak terkena lagi. Ianya sangat menakutkan dan boleh membuatkan saya resah, diserang panik dan hilang arah. Saya asyik berkata pada suami, "mama tak boleh bernafas", "udara mana", "sayang, mama takle bernafas". Badan saya terhuyung-hayang, tercungap-cungap dan saya merasakan tiada udara langsung ketika itu masuk ke dalam rongga badan. Di dalam kereta saya bertambah resah kerana aircond kereta tidak cukup untuk saya bernafas. Saya buka tingkap dan keluarkan sedikit kepala, barulah saya jumpa "udara" untuk dihirup. Mengah, konfius, sangat takut yang saya akan mati pada ketika itu. Diserang gelisah tanpa henti. Mati adalah satu ketakutan yang amat mendalam pada waktu ini walhal sebagai hambaNya berulang kali saya katakan pada diri, mati itu pasti. 


Kita semua akan mati.
Kita akan pergi meninggalkan orang tersayang.
Kita akan pergi meninggalkan kesan atau jejak pada yang hidup.

Usah sesekali meninggal dunia dengan menyusahkan orang lain. Pemikiran ini sangat tertekan, hingga saya rasa takut untuk mati. Apakah saya layak untuk mati selagi masih ada hutang di dunia? Hukuman di akhirat, Ya Allah. 

Back to Allah.
Kembali kepada Allah.


Maaf, sahabat semua terpaksa membaca kegelisahan saya. 


Anxiety Disorder Penyebab Serangan Panik


Risau merupakan perkara normal, tetapi jika ia keterlaluan akan menyebabkan kesan kesihatan mental dan breakdown. Risau, terganggu akan banyak perkara hingga minda anda hilang kawalan terhadap diri sendiri, persekitaran, realiti atau fantasi. Mimpi atau terjaga. Anda akan sentiasa berasa risau hal kecil atau besar. 

Gejala serangan kegelisahan termasuk:

  • Mudah terkejut
  • Sakit dada
  • Pening
  • Mulut kering
  • Keletihan
  • Ketakutan
  • Mudah marah
  • Kehilangan tumpuan
  • Sakit otot
  • Rasa kebas di hujung kaki
  • Degupan jantung yang cepat
  • Kegelisahan
  • Sesak nafas
  • Gangguan tidur
  • Perasaan seakan tersedak
  • Risau dan susah hati

Jika anda lihat ya, simptom bagi gejala panik dan kegelisahan agak sama. Tetapi kegelisahan adalah lebih kritikal kerana boleh menyebabkan serangan panik yang terlalu kerap. Adakah anda suka diserang panik setiap hari? Setiap hari nak mengadap jantung laju, debar dan gigil? Setiap hari anda hidup dengan takut yang mana satu ialah realiti? Ia benar-benar memerlukan satu kekuatan untuk beritahu diri anda bahawasanya anda perlu keluar dari situasi itu sekarang!


Kejap saya terdiam (beku), ia bukan kerana termenung, tetapi saya hilang arah apakah dunia saya sedang alami sekarang. 

Saya perlu remind diri untuk setiap task, dan tenaga yang banyak untuk aktiviti fizikal kerana minda yang tak berhenti gelisah dan bercakap. 

Diri jadi amat sensitif terhadap persekitaran hatta bunyi, siang atau malam, anak-anak, bagi saya setiap hari adalah struggle yang mungkin orang biasa tidak akan sesekali faham. 


Saya teringat perbualan bersama orang terdekat (saya tak bagitau la siapa ya). Bila kita luahkan rasa hati, gelisah atau apa-apa la yang keluar dari mulut asbab kenapa kita jadi sebegini, mereka tidak empati dari perspektif pesakit mental, tetapi menyuruh kita terima, berubah, telan. Adakah saya tidak cukup bersabar? Adakah saya menjadi isteri yang nusyuz? Membuat onar atau ibu yang jahat? Oh tidak. 

Namun saya dapat simpulkan, benar apa yang teman-teman seperjuangan anxiety disorder ini kata, mereka tidak akan dapat faham selagi tidak alaminya atau hidup dalam circle tersebut. Yang membuatkan saya nampak normal, kerana saya sangat kuat mengawal diri, dan ya saya masih mampu mengawal diri saat ini walaupun dunia dalam minda dan badan sedang terbelah dua. Orang takkan nampak saya sedang struggle. Air mata dan kerutan ini saya sembunyikan dengan baik, alhamdulillah. Allah maha baik.


Kenal Pasti Trigger Anxiety/Panik Anda


Doktor ada sebut apakah trigger point atau fobia. Anda juga boleh cuba kelaskan kegelisahan anda setiap kali berlakunya serangan. 

Fobia juga adalah salah satu anxiety, jika anda mampu jauhkan diri ianya lebih baik, tetapi jika anda terpaksa berhadapan dengan fobia tersebut setiap hari, atau kerap. Ia mungkin akan lebih mengganggu kehidupan anda. Jadi adalah sangat penting untuk anda mengenal pasti trigger anda.

Tujuan mengenal pasti adalah untuk kita belajar untuk mengawal anxiety, atau berbincang dengan pakar apakah cara terbaik untuk diri anda. Lari? Elak? Perbualan terakhir saya dengan doktor ialah apabila saya kata saya elak diri saya daripada certain perkara (punca anxiety), beliau menyatakan itu bukan penyelesaiannya. 

Serangan panik yang tidak dijangka dan kegelisahan tidak mempunyai pencetus luaran yang jelas. Namun, perkara-perkara berikut mampu untuk menjadi pencetus:

  • Pekerjaan yang tertekan
  • Memandu
  • Situasi sosial
  • Fobia, seperti agoraphobia (ketakutan terhadap kawasan yang sesak atau terbuka), claustrophobia (ketakutan terhadap ruang kecil), dan acrophobia (takut ketinggian)
  • Kenangan atau pengalaman traumatik
  • Penyakit kronik, seperti penyakit jantung, diabetes, sindrom iritasi usus, atau asma
  • Pengambilan ubat atau alkohol
  • Kafein
  • Ubat dan makanan tambahan
  • Masalah tiroid


Kesimpulan

Sekiranya anda mengalami perkara yang saya senaraikan di atas, mendapat beberapa kali serangan. Usah biarkan perkara itu berlanjutan. Berjumpalah doktor pakar dan dapatkanlah rawatan. Walaupun sukar untuk ditelan yang kita ada masalah sakit mental (ingat anda bukan gila-anda cuma lebih istimewa berbanding orang lain), rawatan perlu untuk mengurangkan serangan, bebaskan diri dari belenggu anxiety. 

Sebagai orang Islam, nasihat saya kembali kepada Allah. Ingatlah setiap ujian ada hikmahnya dan setiap kesabaran ada ganjarannya di akhirat kelak. Walau orang tidak mengerti kenapa kita perlukan rawatan, kenapa kita lain dari yang lain, lupakan. Yang memberi kesembuhan ialah Allah sebagaimana kita diuji sekarang ini, mohon kepada Allah untuk bantu kita. 

Hasbunallah wanikmal wakil


Saya doakan kalian semua tabah, sabar, dan insya Allah sembuh sepenuhnya. Insya Allah, semuanya dengan izin Allah.


We are a fighter. 
Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan