Bacaan Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW, Sangat Rugi Jika Tidak Berselawat!

Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Utamanya kepada mereka yang mengingat Allah dan mereka yang banyak bersyukur, imam para rasul dan penutup sekalian nabi. Juga kepada keluarga beliau, para sahabat seluruhnya, dan orang-orang yang mengikut jejak langkah beliau sampai hari kiamat - Hasan Al-Banna


selawat ke atas nabi

Setiap umat Islam digalakkan untuk berzikir selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, sebagai seorang Muslim kita semua dianjurkan untuk berselawat pada setiap masa, mengikut sunnah dan menjadikan Baginda SAW sebagai role model terunggul sebagai seorang Islam. Nama nabi Muhammad SAW disebut di dalam kalimah syahadah iaitu sebagai pesuruh Allah SWT. Ini menunjukkan betapa mulianya Baginda di sisi Allah dan para malaikat. 


Ruginya Jika Tidak Berselawat Ke Atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam


Ustaz Wadi Anuar di dalam ceramah beliau acapkali menceritakan betapa ruginya jika kita tidak mengamalkan zikir selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. 


Katanya, 

"Seandainya umat manusia mengetahui kelebihan berselawat nescaya mereka tidak berzikir melainkan selawat sahaja"

 


Dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.”


Ganjaran Besar Selawat ke Atas Nabi Muhammad SAW

Sesungguhnya terdapat fadilat yang sangat besar dan martabat yang tinggi bagi orang-orang yang berselawat, maka berbahagialah kalian yang rajin dan telah banyak berselawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. 


Allah SWT sendiri telah menyampai selawat dan salam-Nya kepada Nabi-Nya.


Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan orang-orang Mukmin dalam Al-Quran dengan berfirman, 

Surah Al-Ahzab (33:56):

   "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."


Perintah Allah ini menunjukkan kewajipan dan tuntutan dalam berselawat. Berselawat kepada Nabi merupakan suatu tindakan ibadah yang mendatangkan rahmat dan berkah dari Allah SWT.


Maksud Selawat

Perkataan Selawat atau Salawat adalah diambil dari perkataan solat, beerti doa, pujian. Menurut istilah Kamus Bahasa Melayu, selawat ditakrifkan sebagai; "doa kepada Tuhan supaya dilimpahkan rahmat atas Nabi Muhammad SAW." Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya yang meriwayatkan dari Al-Bukhari, telah berkata Abu `Aliyah: Allah turut berfirman di dalam Al-Quran dalam Surah Al-Ahzab pada ayat ke-56 tentang berselawat: Ayat tersebut menjelaskan antara banyak-banyak perlakuan ibadah yang dilakukan oleh manusia, hanya selawat ke atas nabi sahaja yang turut dilakukan oleh Allah bersama para malaikat.

Ayat Al-Quran Tentang Keutamaan Selawat

Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran yang menyebut perkataan "selawat" atau "salawat":

1. Surah Al-Ahzab (33:56):

   "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya."

2. Surah Al-Ahzab (33:43):

   "Dia-lah yang mensucikan kamu dan para malaikat-Nya untuk menjemputmu keluar dari kegelapan (kafirah) kepada cahaya (iman). Dan mereka (malaikat) adalah pemberi kabar gembira (berselawat) kepada orang-orang yang beriman."


Keutamaan Berzikir

Berikut adalah 5 keutamaan berzikir yang paling utama bagi umat Islam:

1. Mendekatkan Diri kepada Allah: Berzikir membantu umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengingat dan merenungkan-Nya dalam setiap aspek kehidupan.

2. Penghapus Dosa: Zikir, terutama istighfar (meminta ampun), dapat menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan yang telah dilakukan, memberi kesempatan untuk memperbaiki diri.

3. Mendapatkan Rahmat Allah: Berzikir dengan ikhlas membuka pintu rahmat Allah, membawa keberkahan dalam hidup dan mendatangkan kegembiraan.

4. Perlindungan dari Syaitan: Berzikir secara konsisten dapat menjaga diri dari godaan syaitan dan memperoleh perlindungan Allah.

5. Memperoleh Pahala dan Ganjaran: Setiap kalimah zikir yang diucapkan mendatangkan pahala dari Allah, membawa keuntungan besar di dunia dan akhirat.

Ingatlah bahawa berzikir adalah amalan yang diberkati dan sangat dianjurkan dalam Islam. Ia membawa banyak manfaat dan membantu memperkuat hubungan antara hamba dan Pencipta. Sebagai umat Islam, marilah kita merenung dan mengamalkan zikir dalam kehidupan kita sehari-hari.

Hukum Berselawat Ke Atas Nabi sallallahu alaihi wasallam


Para ulama berselisih pendapat mengenai hukum berselawat ini, ada yang mengatakan fardhu secara menyeluruh tanpa ada had dan bilangan, ada pula yang menyatakan cukuplah berselawat sekali sahaja sepanjang hidupnya. 

Berkata Imam Ibnu 'Abd Il-Bar, wajib berselawat sekali seumur hidup sama ada di dalam solat atau di luar solat. Kenyataan wajib ini turut dinukilkan juga daripada Imam Malik, Sufian Sauri dan Imam Auza'i. 


Namun pendapat yang paling mudah dan dipersetujui iaitu wajib berselawat ketika nama Nabi Muhammad SAW ini disebutkan di mana-mana majlis pada kali pertama dan sunat untuk berselawat sekiranya nama Nabi SAW diulang-ulang dalam majlis yang sama.


Tata Cara & Adab Berzikir

Selawat adalah zikir dan dalam berzikir ada adab-adabnya, zikir bukan bermaksud sekadar dilafazkan sahaja. Tidak semua tempat boleh berzikir seperti di tandas dan tempat-tempat hiburan. Maka sudah tentu, adalah beradab dan berhormat akan zikir itu. Berikut adalah lima adab utama ketika berselawat atau berzikir:

  1. Niat Ikhlas: Mulakan dengan niat yang tulus dan ikhlas, mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.
  2. Khusyuk dan Fokus: Amalkan dengan hati yang khusyuk dan fokus, memberi perhatian sepenuhnya kepada zikir atau selawat yang diucapkan.
  3. Selawat dengan Penghormatan: Bacakan selawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan penuh penghormatan dan rasa cinta.
  4. Mencerminkan Makna Zikir: Renungkan makna zikir atau selawat yang diucapkan, supaya zikir tersebut memberi kesan mendalam pada hati.
  5. Bertawadhu' dan Merendahkan Diri: Amalkan dengan sifat rendah hati, merendahkan diri di hadapan Allah yang Maha Agung.

Ingatlah bahawa amalan dengan adab yang baik meningkatkan nilai dan manfaat dari zikir dan selawat tersebut. Marilah kita berusaha untuk mengamalkan adab-adab ini dalam setiap zikir dan selawat yang kita lakukan.

Kepentingan dan Makna Mengirim Salam kepada Nabi

Saya kutipkan pendapat daripada Al-Khatib al-Syarbini menjelaskan: Para ulama’ mempunyai pandangan yang berbeza berkaitan kewajipan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW kepada beberapa pandangan, iaitu:

  • Pada setiap kali solat didirikan dan Imam al-Syafie memilihnya dengan menyatakan ia di dalam tasyahhud akhir. (wajib untuk kita baca)
  • Sekali seumur hidup.
  • Setiap kali apabila nama Baginda SAW disebut disisinya dan pandangan ini dipilih oleh al-Halimi daripada ulama’ al-Syafieiyyah, Imam al-Tahawi daripada ulama al-Hanafiah, al-Lakhmi daripada ulama’ al-Malikiyyah, Ibn Battoh daripada ulama’ al-Hanabilah, yakni apabila disebut sahaja nama Baginda contohnya Nabi, Muhammad, Nabi Muhammad, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk menyebut Selawat ke atas nabi ( Allahumma Solli ‘Ala Muhammadin Wa ‘Ala Aali Muhammad )
  • Di dalam setiap majlis.
  • Pada setiap permulaan, pertengahan dan akhir doa.[Rujukan al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, hlm. 9]


10 Faedah dan Kelebihan Selawat Ke Atas Nabi SAW

Saya kongsikan sepuluh faedah dan kelebihan selawat ini. Semoga ia menjadi galakan dan dapat menguatkan lagi keimanan kita terhadap bacaan selawat dan memberikan berita gembira buat semua yang cintakan berselawat. 

  1. Mentaati perintah Allah kerana Allah telahpun memerintahkan kita di dalam kitab Al-Quran mulia agar kita berselawat dan menghantar salam kepada Baginda Nabi saw.
  2. Sesungguhnya Allah swt mengangkat darjat hamba-Nya sepuluh darjat.
  3. Sesungguhnya Allah swt menulis untuknya sepuluh pahala.
  4. Sesungguhnya Allah swt menghapuskan daripadanya sepuluh dosa.
  5. Selawat menjadi asbab penghampiran seseorang hamba kepada Nabi, pada hari kiamat nanti. Ia telah diriwayatkan dalam hadis Abdullah bin Mas'ud r.a
  6. Selawat menjadi asbab Allah swt mencukupkan seseorang hamba dalam urusan-urusannya yang penting.
  7. Selawat menjadi asbab tertunainya hajat.
  8. Selawat menjadi asbab Nabi saw menjawab selawat seseorang itu.
  9. Selawat menjadi asbab nama orang yang berselawat disebutkan di sisi Nabi saw sebagaimana nabi bersabda, "Sesungguhnya selawat kamu dibentangkan kepadaku", dan juga sabdaan Rasulullah saw, " Sesungguhnya Allah swt melantik beberapa malaikut dikuburku yang akan menyampaikan kepadaku selawat dan salam dari pihak umatku" 
  10. Selawat mengandungi zikrullah, syukur kepada Allah, pengiktirafan nikmat-nikmat-Nya ke atas hamba-hamba-Nya dengan mengutuskan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. 


Jenis-Jenis Selawat (Arab, Teks dan Video) serta Fadilat Khususnya

Terdapat banyak jenis selawat Nabi, namun selawat yang terbaik dan paling afdal adalah selawat yang bersumberkan dalil dan nas seperti beramal dengan selawat Ibrahimiyyah yang telah diajar oleh Baginda Nabi SAW, bahkan ia merupakan sebaik-baik amalan.


1| Selawat Munjiyah (penyelamat)

Ia diamalkan selepas selesai solat fardu dan boleh dijadikan wirid harian. Akan dijauhkan segala bala bencana dan menjadi penyelamat terutama pada masa-masa yang genting, insya-Allah

Munjiyah bererti penyelamat. Jika diamalkan Selawat ini dengan dijadikan zikir, maka ia akan menyelamatkan dari segala sesuatu yang tidak diinginkan. Insya Allah ia akan mendatangkan segala hajat yang diingini.

.

selawat ke atas nabi munjiyah

Video Selawat Munjiyah:-


Fadhilat Khusus Selawat Munjiyah:-

  • Selawat ini diamalkan selepas selesai solat fardhu dan boleh dijadikan wirid harian. Insya Allah akan dijauhkan segala bencana dan menjadi penyelamat terutama pada waktu-waktu genting.
  • Jika dibaca 500 kali setiap hari, akan mendapat rezeki yang banyak.
  • Jika dibaca 1000 kali setiap hari, akan tercapai hajat dunia dan akhirat serta dijauhkan dari tenyakit taun.
  • Bagi orang yang mempunyai hajat yang sangat penting dan ingin segera dikabulkan oleh Allah, maka selawat ini eloklah dibaca sebanyak 1,000 kali.
  • Sesiapa membaca selawat ini 300 kali semasa belayar ke laut, akan terselamat dari karam atau tenggelam.


2| Selawat Ibrahimiyyah  (Paling Afdal)

Selawat yang dibaca lazimnya ketika tahiyat awal dan tahiyat akhir. Selawat ini menggabungkan dua ucapan salam dan hormat ke atas kedua-dua Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim AS.

Ibnu Taimiyyah berkata, “Selawat yang paling sempurna untuk Rasulullah adalah Selawat Ibrahimiyah.”

selawat ke atas nabi ibrahimiyah
Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

Video Selawat Ibrahimiyah:-


Fadhilat Khusus Selawat Ibrahimiyah:-

  • Mendapat pahala yang besar kerana selawat ini tergolong sebagai selawat utama.
  • Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesiapa yang membaca selawat ini, nescaya aku saksikan baginya di hari qiamat dengan pengakuan dan aku beri syafaat baginya.”
  • Berkata setengah ulama; “Sesiapa membaca selawat ini 1000 kali, InsyaAllah dia akan bertemu Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di dalam tidurnya.”
  • Menurut Ahmad As-Shawi; “Sesiapa membaca selawat ini akan mendapat syafaat dan pertolongan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam di hari Qiamat.“

3| Selawat Tafrijiyah (Rezeki)

Selawat Tafrijiyah disebut juga “Selawat Kamilah” atau “Selawat Nariyah” yang bermaksud sempurna atau terbuka sehingga menjadi lapang. Selawat ini jika diamalkan dapat menghilangkan kesempitan hidup dengan izin Allah SWT.


selawat ke atas nabi tafrijiyah
Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW yang dengan rahmatnya itu semoga terurai segala simpulan, terhapus segala kesusahan, tertunai segala hajat, tercapai segala keinginan dan kesudahan umur yang baik (mati dalam keimanan) serta dicurahi hujan rahmat dengan berkat peribadinya yang mulia. Rahmatilah ahli keluarga dan para sahabatnya dalam setiap kerlipan mata dan tarikan nafas sebanyak jumlah pengetahuan Mu

Video Selawat Tafrijiyah:-


Fadhilat Khusus Selawat Tafrijiyah:-

  • Allah akan melenyapkan kesedihan, kesulitan serta bahaya yang menimpa dirinya.
  • Allah akan memudahkan segala urusan hidupnya.
  • Dipancarkan nur (cahaya) dalam hatinya juga ditinggikan martabatnya.
  • Suaranya didengari serta pandangan dan pendapatnya diterima ramai
  • Dia dilindumgi daripada segala bencana dan malapetaka.
  • Dia sentiasa dicintai oleh semua orang.
  • Segala yang dihajati akan dimakbulkan Allah.
  • Dimurahkan rezekinya, dijauhkan daripada kelaparan dan kemiskinan.


4| Selawat Fatih (Pembuka)

Selawat Fatih ini dinamakan akannya ‘Selawat Ahli Bait’ juga dinamakan dengan ‘Selawat yang membuka akan rahsia Hakikat Muhammadiah’ dan tidak terkecuali dinamakan dengan ‘Ibu Selawat’.


selawat ke atas nabi fatih
"Ya Allah berikanlah selawat kepada penghulu kami Nabi Muhammad yang membuka apa yang tertutup dan yang menutupi apa-apa yang terdahulu,penolong kebenaran dengan kebenaran yang memberi petunjuk ke arah jalan yang lurus. Dan kepada keluarganya, sebenar-benar kemuliaan padanya dan kedudukan yang amat mulia.”

Video Selawat Fatih:-




Fadhilat Khusus Selawat Fatih:-

  • Berkata sebahagian ulamak Maghribi, berselawat sekali dengan Selawat Fatih menyamai 10 000 atau 600 000 yang lain.
  • Dibaca 11 kali selepas solat fardhu, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil dan aman tenteram jiwanya.
  • Dibaca 21 kali setiap hari, luas rezeki dan keluarganya selamat dari kesusahan.
  • Sesiapa beristiqamah berselawat Fatih 40 hari, dosanya akan diampuni Allah.
  • Sesiapa mengamalkan  dengan istiqamah, nescaya akan terbuka rahsia keajaiban, menghilangkan dukacita, mendapat hidayah dan tercapai segala hajat. Dan akan menjadi ahli syurga, walaupun hanya membaca sekali seumur hidup.
  • Kebanyakan daripada arifin menyebut bahawasanya selawat ini dapat membukakan asrar (rahsia) ajaib yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya 100 kali setiap hari,
  • Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta’ala.
  • Selawat ini bermanfaat kepada orang Mubtadi, Mutawassith dan Muntahi.
  • Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.
  • Sesiapa membacanya 1000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Caranya adalah membacanya selepas bersolat 4 rakaat,

  1. Baca surah al-Qadr,
  2. Baca al-Zalzalah,
  3. Baca al-Kafirun,
  4. Baca Ma-’uzatain.

Seeloknya diasapkan dengan gaharu ketika membaca Selawat Fatih.


5| Selawat Syifa (Penawar)

Selawat syifa biasa digunakan untuk tujuan pengubatan dan memohon kesembuhan penyakit. Selawat syifa juga dikenali sebagai selawat tib. Perkataan ‘Tib’ dalam selawat Syifa adalah kata nama yang membawa makna penawar atau ubat.


selawat ke atas nabi syifa
"Ya Allah rahmati dan berkati penghulu kami Nabi Muhammad, pembuka apa yang tertutup, penamat bagi yang telah sudah, penolong bagi yang hak, penunjuk kejalan yang lurus. Selawat dan salam ke-atas nya juga keluarga dan sahabatnya..sebagaimana yang selayaknya..dengan darjat dan kedudukan yang tinggi dan mulia.”

Video Selawat Syifa:-



Fadhilat Khusus Selawat Syifa:-

  • Setiap lepas Solat  Subuh dan Maghrib dibaca 3 atau 7 kali Selawat Tib, kemudian sapu ke muka dan seluruh badan; akan:
  • Sentiasa sihat zahir dan batin.
  • Terhindar daripada penyakit berat dan merbahaya.
  • Sukar dipengaruhi oleh anasir buruk dan tidak sihat.

6| Selawat Jibril (Selawat Paling Ringkas & Pendek)

Selawat Jibril adalah selawat Nabi yang lebih pendek dan paling sering diamalkan oleh umat Muslim kerana penuh makna walaupun singkat. Selawat ini diberi nama selawat Jibril oleh kerana ia kali pertama dilafazkan oleh malaikat Jibril ketika memberi pengajaran kepada Nabi Muhammad SAW.

selawat ke atas nabi jibril (selawat nabi paling pendek)

Video Selawat Jibril:-


7| Selawat Umum (Selawat ke Atas Nabi)

selawat ke atas nabi
"Ya Allah, berilah selawat kepada penghulu kami Muhammad, hamba-Mu dan utusan-Mu Nabi yang Ummi (tidak boleh membaca) dan kepada keluarga baginda dan sahabat baginda beserta sejahtera"


Penutup


Alhamdulillah. Syukur ke hadrat ilahi dapat kita hari ini selain membaca, berselawat sekali ke atas Nabi Muhammad SAW. Saya berdoa agar Allah SWT menjadikan entri ini maqbul dan tersebar luas dalam kalangan muslimin, dipandang mulia dan dicintai oleh pembaca-pembaca selawat yang bertakwa. 


Wahai Tuhan kami, sampaikanlah selawat dan salam kepada sebaik-baik mahkluk-Mu, yakni Nabi Muhammad SAW dan juga kepada keluarganya dan sahabat-sahabatnya dan kepada sesiapa sahaja yang mengikut mereka dengan baik selama mana orang-orang yang berzikir masih berzikir kepada-Mu dan orang-orang yang bersyukur, masih bersyukur kepada-Mu.


Semoga artikel ini dapat menarik lebih ramai orang yang berselawat juga memberi galakan kepada orang-orang yang rindu kepada Nabi Sallahu alaihi wassalam di samping memberi amaran kepada orang-orang yang lalai berselawat juga berharap agar dapat menyedarkan mereka yang enggan berselawat serta memberikan dorongan kepada mereka yang mencari kebaikkan serta ganjaran berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Rujukan:
1) https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/4555-irsyad-al-hadith-siri-ke-506-kedudukan-selawat-berbanding-zikir
2) https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3892-irsyad-al-hadith-siri-ke-444-dibentangkan-selawat-kepada-rasulullah-saw-pada-setiap-hari-jumaat
3) https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3884-irsyad-al-hadith-siri-ke-443-malas-berselawat-tanda-kebakhilan
4) https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3507-al-kafi-1301-kenapa-selawat-dan-salam-dalam-tahiyyat-akhir-hanya-khusus-kepada-nabi-ibrahim-as-dan-ahli-keluarganya
5) Buku Kitab Muqaddimah Barakat Makkiyyah (Terjemahan Bahasa Melayu; Ustaz Muhammad Razif Bin Abd Wahab)

Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan