Wasiat wajibah merupakan salah satu cabang dalam hal perwarisan harta pusaka yang tidak diketahui ramai. Malah, ianya bukan kewajiban bagi si mati memberikan harta pusakanya kepada mereka yang layak mendapat tuntutan ini. Rasa pelik kan?
Sebagai contoh, apabila si mati meninggal dunia, Encik Abu (Datuk). Encik Abu meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki, seorang anak perempuan dan seorang orang cucu (anak kepada anak lelaki/perempuan yang telah meninggal dunia).
Cara kiraan Faraid:
Isteri : 1/8
Anak lelaki & perempuan : nisbah bahagian 2: 1 (anak lelaki merupakan waris asobah - penghabis baki)
Cucu : Tiada bahagian faraid.
** Cucu juga tiada bahagian faraid kerana ayah/ibunya telah meninggal dunia dan bapa saudaranya adalah asobah (pendinding harta pusaka datuknya)
Namun, dalam kes ini, jika cucu ini ingin menuntut harta pusaka datuknya adalah BOLEH dan jika ianya tidak dituntut maka tiada hal, atau masalah hukum di sini. Bapa saudaranya layak mendapat seluruh harta baki datuknya dan tidak perlu rasa bersalah jika cucu tidak menuntut.
Hal ini kerana, proses tuntutan perlu dituntut di mahkamah tinggi dan proses menuntut sahaja yang akan diluluskan mendapat harta pusaka dari datuknya maksima sebanyak 1/3.
Apa Itu Wasiat Wajibah?
Wasiat wajibah adalah pemberian harta pusaka yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada cucu yang yatim yang di dinding oleh individu tertentu atau tiada hak faraid. Isu ini pernah dikemukakan oleh Majlis Pengawasan Syariah Amanah Raya Berhad untuk mendapat pandangan JAKIM tentang pelaksanaan wajibah di Malaysia bagi menangani kes-kes kematian yang berlaku dan si waris terhalang daripada mendapat bahagian.
Konsep wasiat harta kepada cucu-cucu ini dapat mengatasi isu kematian serentak yang berlaku terhadap datuk atau nenek bersama anak mereka yang masih mempunyai anak-anak (cucu) yang masih hidup. Cucu-cucu anak yatim yang dijaga oleh atuk dan nenek mereka. Menurut sistem pembahagian harta pusaka Islam, cucu tersebut tidak berhak mewarisi harta pusaka datuk atau nenek disebabkan mereka terdinding oleh bapa saudara atau ibu saudara. Senario ini mengundang persoalan tentang kebajikan dan masa depan cucu-cucu ini, terutama sekali sekiranya ibu bapa mereka meninggal pada usia muda dan tidak meninggalkan harta untuk diwarisi oleh anak-anak bagi meneruskan hidup.
Secara ringkasnya;
a) Harta Pusaka Datuk/ nenek boleh dituntut oleh cucu-cucu yang di mana ibu bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu dari Datuk/ Nenek dan mereka tiada kelayakan Faraid ke atas harta (Waris Patah Titi)
b) Datuk/ Nenek semasa hayat mereka tidak sempat membuat apa apa wasiat harta kepada cucu cucu ini tadi Tiada nya Wasiat Ikhtiyariyyah 1/3
c) Maka beberapa negeri di Malaysia telah membuat Enakmen Wasiat dan ada Wasiat Wajibah bagi melayakkan Cucu cucu tersebut menuntut Harta Datuk/ Nenek (Selangor ,N. Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan dan Sabah)
Nak tahu lebih lanjut dalam bentuk video, boleh dengarkan ceramah dari Ustaz Sofian Arshad:
Keterangan Waris Patah Titi
Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah
Muzakarah telah memutuskan bahawa, melaksanakan wasiat wajibah adalah harus dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya atau bapa dan ibunya mati secara serentak bersama-sama datuk atau neneknya maka anak tersebut layak untuk menerima wasiat ini dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau neneknya.
- Sekiranya bahagian ibu atau bapa ialah 1/3 atau kurang daripada 1/3 maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut.
Syarat Pelaksanaan Wasiat Wajibah
Pendapat Fuqaha' Mengenai Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah
1. Majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa hukum wasiat adalah sunat dan umat Islam digalakkan untuk berwasiat kepada ahli-ahli keluarga yang tidak mendapat pembahagian pusaka dengan kadar tidak melebihi 1/3 (rujuk kepada wasiat adalah hak kepada bukan waris faraid).
2. Ibn Hazm al-Zahiri pula berpendapat bahawa wajib berwasiat kepada kaum kerabat yang tidak mendapat bahagian harta pusaka. Menurut Ibn Hazm, penurunan ayat pusaka yang menerangkan hak faraid bagi waris-waris tidak menasakhkan kewajipan berwasiat bahkan peruntukan ayat wasiat tersebut dikhususkan bagi ahli-ahli waris yang tidak mendapat pusaka disebabkan oleh halangan-halangan tertentu. Dalam hal ini Ibn Hazm menegaskan bahawa kewajipan itu tidak akan gugur meskipun selepas kematian seseorang muslim dan menjadi kewajipan kepada waris atau pentadbir harta untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut menurut kadar yang berpatutan tanpa menimbulkan kesusahan kepada waris-waris yang ditinggalkan.
3. Wasiat Wajibah perlu dilihat dari segi maksud dan hikmah serta bagaimana pelaksanaannya kerana Wasiat ini dilihat dapat mengatasi isu kematian serentak yang berlaku terhadap datuk atau nenek bersama anak yang masih mempunyai anak-anak (cucu) yang masih hidup.
4. Dalam system pembahagian pusaka Islam, cucu tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka datuk atau nenek disebabkan mereka terdinding oleh bapa saudara dan ibu saudara. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan tentang kebajikan dan masa depan cucu-cucu ini terutama sekali sekiranya mereka masih kecil. Lebih memburukkan lagi keadaan sekiranya ibu bapa mereka meninggal dunia pada usia muda dan tidak meninggalkan harta untuk diwarisi oleh anak-anak bagi meneruskan kehidupan.
5. Dalam melaksanakan Wasiat Wajibah, harus mengambil pandangan Ibn Hazm az-Zahiri demi kepentingan keluarga terutamanya anak-anak yang menjadi yatim piatu.
Konsep Wasiat Wajibah Di Malaysia
Di Malaysia, perkara berkaitan wasiat wajibah merupakan suatu yang kurang diketahui oleh sebahagian besar masyarakat. Hal ini kerana, kebiasaannya cucu-cucu yang kematian ibu bapanya sebelum kematian datuk atau neneknya adalah terhalang daripada menerima harta pusaka oleh kerana datuk atau nenek masih mempunyai anak lelaki lain yang masih hidup ketika kematiannya. Kekurangan ilmu ini menyebabkan ramai anak-anak yatim ini tidak mendapat hak sepatutnya dan hidup dalam kesusahan dari kecil lagi.
Setakat ini, hanya empat (4) negeri sahaja yang memperuntukkan secara khusus berhubung dengan wasiat wajibah di dalam enakmen masing-masing iaitu;
- Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999
- Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004
- Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Melaka) 2005
- Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Kelantan) 2009
Di mana Permohonan Wasiat Wajibah boleh dibuat?
Permohonan wasiat wajibah adalah melalui Mahkamah Tinggi Syariah Negeri masing-masing. Jika negeri itu tiada pelaksanaan ini Peguam Syarie yang membawa kes boleh membawa Hujah hujah dan fatwa yang telah digazetkan di negeri lain iaitu di Selangor ,N. Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan dan Sabah.
Prosedur Pelaksanaan Wasiat Wajibah
Soalan Lazim
Soalan :Apakah had umur cucu bagi permohonan wasiat wajibah?
Jawapan: Tiada had umur sebenarnya, jika cucu tersebut berusia 18 ke atas maka dia boleh mewakilkan dirinya sendiri membuat tuntutan wasiat, manakala umur di awah 18 tahun diwakilkan ibu/bapa yang masih hidup.
Soalan: Bolehkah cucu yang kaya memohon wasiat wajibah ini?.
Jawapan: Boleh
Soalan: Bolehkah Wasiat wajibah terbatal atau dibatalkan?
Jawapan: Boleh, sekiranya cucu itu terlibat dalam kematian atuk dan neneknya.
Soalan: Layakkah cucu terima wasiat wajibah sedangkan ibu bapanya terhalang?
Jawapan: Tiada klause yang menghalang cucu dari mendapat harta pusaka atuk atau nenek mereka walaupun ibu bapanya terhalang.
Penutup
Sumber Rujukan
1. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/12521
2. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/30319?language=my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan