Bila Allah Tarik Nikmat Ibadah

Tiada musibah yang paling besar melainkan ALLAH mencabut rasa nikmat beribadah kepada-NYA daripada diri kita.


__________________

"Ustazah, dia tu tak rasa berdosa ke ? Azan, dia tak rasa bersalah tak solat. ALLAH suruh tutup aurat, tak tutup aurat. Ada peluang bersedekah, tapi bakhil. Dia tak rasa berdosa ke?"

Pesan Ustazah kepada kita semua,

Sahabat-sahabat,

Jangan melampau-lampau bercakap pasal orang. Sebab ALLAH Maha Membolak-balikkan Hati.

Allahu Akhbar!

Kita bercakap pasal orang hari ni. 

Kita tak tahu di hujung-hujung usia kita nanti macam mana?

Sebaiknya muhasabah diri kita sendiri.

Rasakan di dalam diri kita dan rasakan di dalam hati kita,

 "Ya ALLAH, azan dah tadi tapi aku buat derk je."

Paling rasa takut bukan hilang harta.
Paling rasa takut bukan hilang suami tercinta .
Paling rasa takut bukan hilang anak-anak tersayang.

Tapi paling rasa takut , rasa takut hilang rasa nikmat nak beribadah. 

Hilang rasa takut nak beribadah ni paling menakutkan. 

__________________

"Aku masa dulu umur 40an, 50an , aku sihat aku rajin nak solat."

Ada orang diuji lagi hujung usianya, lagi malas dia nak beribadah. 

Dia sakit sikit, dia duduk atas katil dalam wad , dia main wasap dari satu group ke satu group. Dia selfie sana sini. Bukan dia tak boleh nak bangun pergi bilik air sendiri. Kencing berak pergi bilik air sendiri, dia boleh. Tapi dia tak boleh nak bangkit berwudhuk untuk bersolat walaupun di tepi katil. Alasan dia macam-macam. 

Sedangkan di hospital sekarang sangat bagus mengajar kita cara solat sambil duduk, solat cara mengiring, solat cara telentang. Semuanya di ajar. Tapi dia je nak tak nak.

"Qadha, kan boleh..."

Dia ingat esok dia boleh keluar hospital. 

"Tak boleh keluar lagi ni acik. Gula tinggi lagi ni."

Dia ingat lusa dia boleh keluar hospital.

Rupa-rupanya 2 minggu dia kena dok dekat hospital. Sampai dia sihat, boleh pi bilik air sendiri tapi dia tak solat.

Akhirnya dia sampai ke rumah. Ketika melangkah bendul, dia terjatuh lalu mati. Dengan 2 minggu tak solat. 

Walaupun 20 tahun dia tak pernah tinggal solat, 2 minggu dia hidup dia tak solat hanya kerana rasa payah nak ambil wudhuk. Dia mati dalam keadaan macam tu. Sebenarnya ALLAH sudah tarik nikmat beribadah . Ia menjadi satu bala yang sangat besar.

___________________

Orang di Gaza, kita nampak mereka macam diberi bala musibah yang besar. 

ALLAH tak kesian ke pada mereka? 

Itu bukan bala. 

Setakat hilang rumah, hilang orang-orang tersayang, itu bukan bala. Mereka masih lagi bertakbir raya. Mereka masih lagi beribadah bersungguh-sungguh walau hilang segala.

Kita pula macam mana?

Kita miliki segalanya. Hidup dekat hospital ada aircond, ada katil sorang satu. Tepi katil atau di atas katil boleh solat. Tapi kita tak solat. 

Allahu Akhbar!

__________________

Pernahkah ketika kita beribadah misalnya ketika sedang solat, fikiran kita hanya memikirkan dunia.

Makan apa tengahari nanti?
Potong rambut di mana?
Lepas kerja nanti nak tengok cerita apa?

Mesti selalu bukan dalam otak kita hadir perkara-perkara begini ketika sedang solat?

Mungkin kerana kita tidak meletakkan rasa khusyuk dalam solat kita.

Ya ...kadang ketika solat, datang ingat kawan sepejabat, ingat jiran sebelah rumah, teringat nak goreng ikan, teringat nak masak apa malam nanti. 

Kita manusia biasa memang selalu diuji begitu. Terus istighfar. Astaghfirullahal'azim . Terus fokus semula pada solat.

__________________

Ada orang solat juga. 

Tapi rakaat pertama, dia teringat nak tempah baju dekat siapa? 

Rakaat kedua, teringat nak beli kain dekat mana? 

Dia boleh tersenyum dalam solat. 

Sebab apa dia jadi macam tu?

Sebab dia layan khayalan dia dalam solat. Dia tak fokus. Dia memikirkan perkara lain ketika sedang solat. Sebab itu dia jadi macam tu.

Di manakah rasa malu kita, rasa hormat kita dan adab kita kepada ALLAH ketika kita sedang solat?

Allahu Akhbar. 

Kita begitu segan walaupun sekadar berselisih jalan dengan bos kita. Tetapi apabila kita sedang beribadah, kita bukan lagi berselisih jalan tetapi terus menghadap ALLAH.

____________________

Ketika kita sakit, adakah kita berselera untuk makan?

Semua makanan yang sedap-sedap terasa pahit di lidah seperti susah hendak ditelan.  

Begitu juga ibadah yang kita lakukan. 

Namun persoalannya mengapa kita tidak dapat berasa nikmat ?

Mungkin ada yang tidak kena pada diri kita. 

Mungkin ada penyakit yang tanpa kita sedari sudah mencemarkan hati kita iaitu dosa-dosa yang menutup dan mengunci hati kita sehingga menyukarkan kita untuk merasai nikmat ketika beribadah kepada ALLAH SWT.

Cari diri kita.

"Aku solat. Tapi kenapa tak rasa lazat? Aku sakit ni kat dalam ni. Aku menduakan ALLAH ke? Aku tak faham maksud bacaan yang aku baca dalam solat ke? Kedudukan kiblat aku ni tak betul ke?"

Sahabat, 

Cari di mana diri kita.
Kita kena cari punca.

Tengok balik syarat sah solat supaya solat kita diterima ALLAH. 

Bersungguh-sungguhlah dalam menjaga hubungan kita dengan ALLAH.

................

[Sebahagian tazkirah dari Ustazah Muzayyanah dalam Wasykuruli pagi tadi. Alhamdulillah. Jazakillahu Khair Ustazah ❤️]

_______________W-A-S-Y-K-U-R-U-L-I______

Sahabat,

Nak berubah jadi baik itu mudah. 
Tapi nak terus istiqomah itu memang payah. 

Sedangkan perjuangan untuk terus istiqomah itu peperangannya berlaku setiap hari. Kita berperang dengan nafsu kita sendiri dan kita juga berperang dengan musuh-musuh yang mahukan istiqomah ini terhenti.

Jangan kita bergantung kepada diri sendiri.
Jangan kita bergantung kepada amalan yang kita lakukan hari-hari.

Sebenarnya ada hikmah mengapa ALLAH ada ketikanya memberi kita kemenangan untuk terus istiqomah dan ada ketikanya pula kita diuji dengan kekalahan dan kefuturan.

Menang dan kalah yang silih berganti ini hikmahnya supaya kita tidak sombong. Supaya kita sentiasa sedar diri kita ini sebenarnya hanyalah seorang hamba yang faqir, jahil, hina dan lemah. Kita tidak mampu melakukan apa-apa pun tanpa pertolongan ALLAH. 

Maka Laa Hawla Wala Quwwata Illa Billah! 

Astaghfirullah!

Dan selalulah bertaubat dan beristighfar bagi membersihkan diri dan hati kita ini dari dosa-dosa yang menjadi penghalang yang menyukarkan kita untuk istiqomah dalam kebaikan.

__________________

Mari kita amalkan 3 doa ini untuk memohon pertolongan ALLAH agar ALLAH bantu kita untuk terus istiqomah dalam ibadah dan kebaikan.

.........................

Yang pertama,

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ وَعَلى طَاعَتِكَ

"Wahai Tuhan yg membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu dan dalam ketaatan kepada-Mu."

...........................

Yang kedua,

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ اِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةً ۚاِنَّكَ اَنْتَ الْوَهَّابُ

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.”

..................

Yang ketiga,

اللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

"Ya ALLAH, bantulah aku dalam berzikir kepada-Mu (mengingati-Mu), mensyukuri nikmat-Mu, dan melakukan ibadah yang baik kepada-Mu." 

(Hadis Riwayat Ahmad)

__________________________

Wallahu'alam.
Semoga bermanfaat.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
#yusnizayaziz 
#ustazahzai 
#wasykuruli 
17 Zulhijjah 1445H
24 Jun 2024
Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan