Beza Sekolah Menengah Aliran Agama di Malaysia

Rupanya ada banyak jenis aliran agama di Malaysia, panggilan, jenis, saya tidak ada idea pun semasa menguruskan persekolahan anak pertama pada tahun 2023 yang lepas. Sebenarnya pada waktu itu, saya telah memohon pelbagai jenis sekolah untuk Balqis, jadi Balqis ada jugalah mengambil ujian bagi kemasukan asrama di SBP, MRSM, KAA dan SMA Negeri Pahang. 

beza sekolah menengah agama



Namun, pada waktu itu, dan pada tahun tersebut hati saya sangat tertarik dengan kewujudan sekolah berasrama perempuan di Pekan, Pahang. Sekolah ini kategori Sekolah Menengah Agama (SMA) di bawah negeri Pahang, panggilan lainnya ialah SMAN.

Sekolah Menengah Agama Negeri ini termasuk di bawah kategori, SMA yang akan menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA).

Merasakan keperluan menyediakan agama sebagai teras hidup anak-anak di atas kekurangan diri saya sendiri tidak bersekolah agama, jahil dan banyak asbab, saya pun mula menyimpan hasrat agar dimakbulkan doa untuk anak-anak disekolahkan di sana.

Memiliki empat anak perempuan yang perlu dijaga, diberikan ilmu agama dan akhirat serta persekitaran yang lebih tertutup dari ajnabi maka sekolah ini telah mendapat tempat yang istimewa di hati saya sendiri. Malangnya saya tidak boleh masuklah kan! 

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Balqis berjaya juga melayakkan diri ke sekolah ini, dan cukup-cukup 11 tahun kami bermastautin di Pahang.

Baiklah mari kita luangkan masa mengambil tahu jenis sekolah agama yang ada di Malaysia.

Pengenalan Dari Kementerian Pendidikan Malaysia Mengenai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)



Anda boleh teruskan pembacaan mengenai SMKA di link ini; https://www.moe.gov.my/sekolah-menengah-kebangsaan-agama-smka

Aliran Agama Di Sekolah Menengah KPM

Ada 3 pilihan untuk ke aliran agama sekolah menengah kerajaan : 
  1. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) 
  2. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK (SAM/SMA))
  3. Kelas Aliran Agama (KAA)
Selain itu, ada juga sekolah agama di bawah negeri masing-masing, SBP-i serta MSRM (Ulul Albab). Insya Allah, kita akan cuba bincangkan juga apakah kesamaan dan perbezaan bagi setiap aliran ini.

Ketiga-tiga pilihan ini pada dasarnya sama cuma berbeza dari segi kemudahan yang ada. Pelajar di SMKA/SABK/KAA akan belajar subjek sama seperti pelajar SMK kecuali pertambahan subjek Bahasa Arab. 

Perbezaan Antara SMKA, SABK dan KAA


SMKA : sama seperti SMK biasa cuma semua pelajar ada subjek tambahan Bahasa Arab (Tingkatan 1 - 3) & Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah (menggantikan Pendidikan Islam) di tingkatan 4 & 5. Biasanya ada aliran sains tulen di menengah atas.
 
SABK : asalnya sekolah menengah agama negeri di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri yang diambil alih oleh KPM. Bilangan kelasnya lebih kecil (kecuali sekolah-sekolah yang lebih established). Mempelajari subjek yang sama seperti SMKA. Kebiasaannya aliran sains ikhtisas untuk menengah atas (kecuali sekolah-sekolah tertentu yang lengkap dengan makmal sains untuk subjek sains tulen).

KAA : iaitu SMK yang ada aliran KAA, dimana pelajar belajar sama seperti pelajar SMK yang lain, cuma ada subjek tambahan Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran & Al-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah. Biasanya hanya 1 kelas bagi setiap tingkatan. Ada sekolah yang membuka kelas KAA hingga tingkatan 3 sahaja tetapi ada juga sekolah yang ada KAA hingga tingkatan 5.

Disamping itu, pelajar SMKA/SABK/KAA yang berminat juga boleh mengikuti KKQ yang disediakan oleh pihak sekolah. Ianya tidak diwajibkan tetapi digalakkan jika berminat, lebih-lebih lagi jika pelajar pernah mewakili sekolah/daerah ke pertandingan musabaqah Al-Quran di peringkat sekolah rendah.
 
Di Malaysia, juga ada aliran tahfiz (Tahfiz Model Ulul Albab, TMUA & Kurikulum Bersepadu Tahfiz, KBT) serta aliran dini (Kurikulum Bersepadu Dini, KBD).

Aliran tahfiz : bagi aliran tahfiz, ada 2 pilihan iaitu TMUA & KBT. Bagi kedua-dua pilihan ini, pelajar akan mempelajari subjek yang sama seperti pelajar SMKA dengan tambahan subjek Maharat dan Hafazan. Pelajar juga akan tinggal di asrama kerana proses pembelajaran tahfiz akan bermula seawal jam 6.30 pagi sehingga malam pada waktu prep. Perbezaannya ialah TMUA hanya dijalankan di SMKA & SBPI sahaja manakala KBT dijalankan di SABK.

Aliran dini : bagi KBD pula, pelajar akan mempelajari semua subjek sama seperti pelajar SMK biasa kecuali Pendidikan Islam dan digantikan dengan 3 subjek lain : Usul al-Din, Al-Syariah dan Al-Lughah al-’Arabiah al-Mu’asirah yang diajar dalam bahasa Arab sepenuhnya. Buku teks dan soalan peperiksaan bagi 3 subjek ini juga dalam Bahasa Arab dan pelajar juga perlu menjawabnya dalam Bahasa Arab.

Pemakaian Pelajar Aliran Agama

Biasanya kita akan melihat pelajar aliran agama akan berpakaian putih, tudung labuh putih serta kain berwarna hijau. 

Bagi aliran Sekolah Agama (SMKA, SABK, SAM, SMA), tata cara pemakaian adalah sama, iaitu pelajar lelaki; Bersongkok, kemeja putih dan seluar berwarna hijau gelap, manakala pelajar perempuan tudung labuh (bawah siku) berwarna putih, baju sekolah lengan bercekak warna putih dan kain berwarna hijau gelap.

pemakaian pelajar aliran agama


Boleh lihat rujukan baju di sini: https://sman.pahang.edu.my/smamaran/articles/5996

Berbeza dengan KAA, yang ada 2 aliran iaitu agama dan tahfiz, pemakaian pelajar tahfiz sama seperti (SMKA, SABK, SAM, SMA), aliran agama, baju kemeja berlengan pendek. Pelajar perempuan pula, tudung labuh dan baju sekolah berwarna putih, manakala kain sama seperti SMK iaitu biru muda.

pemakaian pelajar aliran agama

pemakaian pelajar aliran agama

pemakaian pelajar aliran agama

pemakaian pelajar aliran agama


Gambar ini saya ambil di sini: https://alhidayahperak.edu.my/institusi/smah-ipoh/tatacara-pemakaian-pelajar/

Disclaimer: Tidak banyak rujukan yang dapat saya cari di google, oleh itu ada kemungkinan maklumat ini tersilap atau kurang tepat bagi setiap sekolah mengikut negeri. 

pemakaian pelajar aliran agama
Ada juga saya jumpa kod pemakaian begini


Syarat Memasuki Sekolah Aliran Agama

Setelah membuat carian, bagi SMKA di bawah KPM, SMA negeri, SABK di mana semuanya di bawah kerajaan Malaysia mempunyai syarat umum yang hampir sama iaitu; 

ALIRAN AGAMA

SYARAT UMUM

i. Pemohon warganegara Malaysia
ii. Mencapai aras toleransi PKSK
iii. Berpotensi cemerlang dalam bidang akademik
iv. Aktif dalam kegiatan kokurikulum

SYARAT KHUSUS

i. Keutamaan diberikan kepada murid yang memiliki laporan pencapaian program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) atau Sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK)

TAHFIZ MODEL ULUL ALBAB (TMUA)

SYARAT UMUM

i. Pemohon warganegara Malaysia
ii. Mencapai aras toleransi PKSK
iii. Berpotensi cemerlang dalam bidang akademik
iv. Aktif dalam kegiatan kokurikulum

SYARAT KHUSUS

i. Keutamaan diberikan kepada murid yang memiliki laporan pencapaian program Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) atau Sijil Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK)
ii. Menduduki Ujian Kelayakan Tahfiz (UKT) dan lulus dengan cemerlang

*Hanya calon yang disenarai pendek (berdasarkan pencapaian PKSK) akan dipanggil untuk Ujian Kelayakan Tahfiz (UKT)

Untuk memasuki sekolah aliran agama ini, anda haruslah memohon melalui KPM, negeri atau sekolah tersebut. Untuk Aliran agama, KAA, permohonan adalah secara manual, ianya akan diberikan oleh guru kepada murid kebiasaannya hujung tahun nanti.

Untuk pengetahuan juga, sekolah agama di bawah KPM iaitu SMKA, SABK dan KAA tiada peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), jika sahabat ingin anak-anak untuk ke Mesir atau mengambil exam tersebut, bolehlah memohon ke SMA di bawah jagaan negeri masing-masing.

Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) Tingkatan Empat

Pelajar aliran agama di peringkat menengah akan ada sebuah peperiksaan yang besar iaitu Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) serta Sijil Kafa Menengah (SKM). 

Sijil Menengah Agama (SMA) adalah peperiksaan awam yang diduduki oleh semua pelajar tingkatan 4 Sekolah Agama Negeri.

Peperiksaan ini dikelolakan sepenuhnya oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Namun tidak banyak informasi yang dapat saya cari mengenai Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) serta Sijil Kafa Menengah (SKM), insya Allah dapat info baru saya akan segera kongsikan di sini ya. 

Nota lain: Mengikut negeri juga, Sijil Menengah Agama (SMA), dikenali sebagai Sijil Menengah Ugama (SMU), sebagai contoh, di negeri Kelantan adalah peperiksaan SMU, Sijil Menengah Tahfiz Al Quran (SMTQ) dan Sijil Tinggi Tahfiz Al Quran (STTQ).. insya Allah semoga kita dapat kupas lebih banyak info mengenai sekolah-sekolah agama dan peperiksaan aliran agama yang ada di Malaysia. 

Pengenalan Sijil Menengah Agam (SMA)

Mungkin ada yang masih mempertimbangkan sama ada pengajian di peringkat Sijil Menengah Agama (SMA) patut dipertimbangkan atau tidak.

Sijil Menengah Agama adalah sijil yang kita akan gunakan apabila hendak memohon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

InshaAllah jika cemerlang, boleh sambung belajar di negara timur tengah seperti Mesir, Turki dan sebagainya.

Bagi yang tidak tahu, STAM ini adalah setaraf dengan STPM atau dianggap sebagai pengajian Pra-Universiti.

STAM melibatkan 11 subjek dan Malaysian University English (MUET).

Selain itu, pada masa sekarang pengambilan untuk kursus persediaan Program Ijazah Perguruan di Institut Pendidikan Guru juga menggunakan Sijil SMA.



kelebihan sekolah menengah agama negeri

kelebihan sekolah menengah agama negeri

kelebihan sekolah menengah agama negeri


Kesimpulan

Dapatan dari menyelongkar dan menggali sekolah agama peringkat menengah ini, di mana pelajar tingkatan satu hingga lima, rupanya terlalu sedikit pengetahuan yang saya ada dan maklumatnya sangat kurang di laman website. Harus bertanya dan ke Facebook search jugalah nak mencari maklumat. 

Namun perkara yang dapat saya kongsikan di sini adalah, untuk peperiksaan SMA/SMU ini adalah di bawah jabatan agama negeri masing-masing, masih tiada info pasti dari hasil carian mengenai SMATQ (adakah ini bermaksud dari sekolah agama bantuan kerajaan?), saya harus pastikan terlebih dahulu. Dan untuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) merupakan peperiksaan awam bagi pelajar lulusan agama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang agama di Mesir/Jordan mahupun universiti tempatan. 

Syarat pendaftaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)

  • Telah mengikuti kurikulum Maahad Al-Bu'uth Al-Islamiah Al-Azhar yang dipersetujui antara Kementerian Pendidikan Malaysia dengan Al-Azhar Al-Syarif, Kaherah, Mesir pada tahun 1999, atau
  • Telah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan
  • Telah menduduki Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) atau Sijil Khas Kolej Islam Sultan Alam Shah (SKK), dan
  • Telah mencapai umur 18 tahun pada tahun peperiksaan STAM.

Disebabkan sekarang ini sudah tiada lagi UPSR maka keputusan UPKK/UPSRA sangat mempengaruhi kejayaan untuk ke aliran agama di sekolah menengah.
 
Harap maklumat ini dapat membantu ibu bapa dan calon-calon untuk memilih aliran agama di peringkat menengah kelak.


Maksud singkatan :
SMKA : Sekolah Menengah Kebangsaan Agama
SAM : Sekolah Agama Menengah
SMA : Sekolah Menengah Agama
SABK : Sekolah Agama Bantuan Kerajaan
KAA : Kelas Aliran Agama
KKQ : Kelas Kemahiran Al-Quran
TMUA : Tahfiz Model Ulul Albab
KBT : Kurikulum Bersepadu Tahfiz
KBD : Kurikulum Bersepadu Dini
SBPI : Sekolah Berasrama Penuh Integrasi
UPKK : Ujian Penilaian Kelas KAFA
UPSRA : Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama
Share:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan