Keberkatan Tadarus Surah Al-Kahfi Setiap Jumaat

Hari Jumaat bukan sekadar hari cuti bagi sesetengah orang, ia sebenarnya hari yang penuh keberkatan dan keistimewaan dalam Islam. Dan salah satu amalan yang sangat digalakkan pada hari ini ialah membaca Surah Al-Kahfi. Bukan sekadar 10 ayat awal atau akhir, tapi keseluruhan 110 ayat.

Alhamdulillah, saya berpeluang menyertai tadarus Surah Al-Kahfi yang dianjurkan oleh Unit Tarbiyah dan Tazkirah SRR (Suri Rumah Rahmah). Program ini merupakan kesinambungan dari semangat Ramadan – apabila ramai suri rumah melazimi tadarus setiap hari, dan kini diteruskan pada setiap hari Jumaat jam 9.30 pagi secara konsisten bermula minggu lepas.


Kami baca beramai-ramai seluruh ayat surah alKahfi, bukan sahaja dapat melatih diri agar lancar membaca al-Quran, tetapi juga kerana yakin dengan sabda Nabi SAW:

“Tidak berkumpul suatu kaum di rumah dari rumah-rumah Allah membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka, malaikat akan mengelilingi mereka, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka di hadapan makhluk yang ada di sisi-Nya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Kenapa Pilih Surah Al-Kahfi?


Surah ini bukan surah yang pendek. Tapi bila dibaca bersama-sama, terasa ringan dan manis. Dan ternyata, kelebihan yang Allah sediakan bagi sesiapa yang membaca surah ini amat besar.

Antara kelebihannya:

1. Perlindungan dari fitnah Dajjal

“Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat dari awal Surah Al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada Dajjal.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain:

“Sesiapa membaca sepuluh ayat terakhir dari Surah Al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada Dajjal.”
(Hadis Riwayat Muslim & al-Nasa’i)

2. Mendapat cahaya antara dua Jumaat

“Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan terpancar cahaya untuknya di antara dua Jumaat.”
(Riwayat al-Hakim, al-Baihaqi & al-Darimi – disahihkan oleh al-Albani)

Mesti baca keseluruhan surah Kahfi ke?

Walaupun hadis menyebut tentang 10 ayat awal atau akhir, pihak Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa membaca keseluruhan surah sangat digalakkan. Ini kerana lafaz hadis menyebut secara umum “Surah al-Kahfi”, dan ini membawa maksud keseluruhan surah.

“Pembacaan keseluruhan surah lebih sempurna dan lebih utama untuk mendapatkan ganjaran yang lebih besar…”
(Rujuk: www.muftiwp.gov.my)

Tadarus Kahfi – Usaha Kecil, Ganjaran Besar


Program ini dihadiri secara berkala oleh ahli-ahli SRR setiap minggu. Alhamdulillah, minggu pertama seramai 15 orang dapat sertai mengaji surah alKahfi. Walaupun sibuk sebagai suri rumah, ibu, dan isteri – kami ambil masa untuk berhenti sekejap dari rutin harian, dan beri masa untuk al-Quran.

Tiada siapa yang terlalu sibuk untuk al-Quran. Bila kita buat kerana Allah, pasti Allah permudahkan.

Penutup: Mula Hari Ini


Jika belum mampu hafal 10 ayat, mulakan dengan membaca. Jika belum boleh baca seorang, cari kawan atau kumpulan. Jika belum konsisten, mulakan dengan niat – kemudian langkahkan kaki.

Kerana satu amalan kecil yang dilakukan berterusan lebih dicintai Allah daripada satu amalan besar yang ditinggalkan.

“Bacalah Surah Al-Kahfi setiap hari Jumaat…”
– kerana ia adalah cahaya, ia adalah perisai, dan ia adalah penyambung jiwa kita dengan Kalamullah.

Catat Ulasan

0 Ulasan